Bookdoc bekerjasama Dengan Perkeso Bagi Activ@Work Challenge 2018
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Syarikat penjagaan kesihatan dalam talian, BookDoc sekali lagi bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam Activ@Work Challenge 2018.
Cabaran berkenaan akan menyaksikan wakil syarikat-syarikat mendaftar aplikasi mudah alih Activ BookDoc untuk bersaing mengumpul jumlah mata tertinggi melalui bilangan langkah yang diambil semasa aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari, dan bersenam.
Pengasas BookDoc Datuk Chevy Beh berkata mereka berbangga dan gembira dengan kejayaan program 2017 dengan penyertaan lebih 100 majikan dan kira-kira 100,000 pekerja.
“Dengan menggunakan konsep aktif di samping mengutip ganjaran, program ini boleh menjadikan aktiviti fizikal menarik untuk dilakukan,” katanya.
Mengenai aplikasi mudah alih Activ BookDoc, Beh berkata syarikat-syarikat yang mengambil bahagian disediakan dengan kod promosi untuk memulakan program dan para peserta dapat menebus ganjaran mereka dalam bentuk e-baucar di premis terpilih di seluruh negara.
“Kami gembira dapat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia juga meningkatkan semangat kerja berpasukan dalam pekerja mereka kerana mereka mewakili syarikat masing-masing bersaing untuk mencapai sasaran,” katanya selepas pelancaran ‘Workplace Health Promotion 2018’ dan penyampaian hadiah kepada pemenang program Perkeso Activ@ Work Challenge 2017.
Cabaran tahun ini akan diteruskan dengan konsep yang sama dan menyasarkan penyertaan 500 majikan.
— BERNAMA
To view full article, please click here.