97 Syarikat Sertai Cabaran Activ@Work 2017 Anjuran Perkeso, BookDoc
Last update: 17/08/2017
KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) — Dalam usaha menggalakkan budaya tempat kerja lebih sihat, 97 syarikat akan menyertai Cabaran Activ@Work 2017 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan BookDoc selama tiga bulan, mulai September ini.
Cabaran yang bermula 1 Sept sehingga 30 Nov, 2017 itu akan menyaksikan wakil setiap syarikat yang mendaftar melalui aplikasi mudah alih Activ oleh BookDoc bersaing mengumpul mata tertinggi melalui jumlah langkah yang dilakukan semasa aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari dan bersenam.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BookDoc, Datuk Chevy Beh berkata selain menyumbang mata untuk majikan, para peserta akan ditawarkan pelbagai ganjaran menarik dalam usaha menggalakkan gaya hidup dan budaya tempat kerja lebih sihat.
“Kami bekerjasama dengan 50 rakan kongsi acara, termasuk Groupon, Uniqlo, Zalora Malaysia, Focus Point, Guardian, Secret Recipe dan Old Town White Coffee untuk memberi ganjaran berbentuk diskaun setiap bulan kepada pekerja yang merekodkan mata tertinggi,” katanya kepada pemberita semasa sidang media mengenai acara itu di sini, hari ini.
Mengenai aplikasi mudah alih Activ yang ditawarkan BookDoc, Beh berkata syarikat yang menyertainya diberikan kod promosi untuk melaksanakan program dan peserta boleh menebus ganjaran mereka yang berbentuk e-baucar di premis terpilih seluruh negara…..
— BERNAMA