BookDoc Perluas Platform Penjagaan Kesihatan
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Persatuan Kiropraktik Malaysia (ACM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan BookDoc, satu aplikasi penjagaan kesihatan dalam talian ciptaan tempatan, bagi tujuan menambah baik akses kepada kiropraktor berkelayakan dan meluaskan platform penjagaan kesihatannya melangkaui doktor.
Melalui kerjasama ini, pengguna dari Malaysia dan luar negara dengan mudah boleh menyemak senarai pengamal penjagaan kesihatan dan membuat janji temu pada bila-bila masa serta di mana sahaja, hanya melalui hujung jari masing-masing.
Pengguna boleh mengetahui kiropraktor yang berada paling hampir dengan tempat mereka dengan membuat carian melalui aplikasi mudah alih BookDoc yang disediakan secara percuma melalui App Store dan Google Play Store, atau melalui BookDoc secara dalam talian.
BookDoc kini terdapat di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Thailand.
Presiden ACM Dr Wong Yi Kai dan naib presiden pembangunan perniagaan BookDoc Reuben Poh menandatangani MoU itu bagi organisasi masing-masing.
“BookDoc menyediakan satu proses yang amat ketat agar orang ramai sentiasa berasa tenang dan selamat apabila mencari profesional penjagaan kesihatan melalui BookDoc. Melalui kerjasama ini, orang ramai kini mempunyai akses kepada profesional berkelayakan dan bersijil dalam bidang kiropraktik,” kata Poh dalam satu kenyataan.
“Kerjasama ACM dengan BookDoc bertujuan memudahkan pertumbuhan dan menggalakkan amalan dalam bidang kiropraktik melalui cara yang melindungi kepentingan orang ramai serta nama baik profesion kiropraktik,” jelas Dr Wong mengenai kerjasama itu.
— BERNAMA