Unity Denticare Sertai Platform BookDoc
KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) — Unity Denticare, satu daripada kumpulan pergigian utama di Singapura menjalin kerjasama dengan BookDoc untuk membolehkan masyarakat membuat carian dan menempah perkhidmatan pergigian secara dalam talian.
BookDoc merupakan platform dalam talian yang beroperasi meliputi rangkaian penjagaan kesihatan yang menghubungkan pesakit dengan kalangan profesional penjagaan kesihatan pada bila-bila dan di mana sahaja.
Pengasas dan ketua pegawai eksekutif BookDoc Datuk Chevy Beh berkata syarikat itu gembira untuk memainkan peranan dalam usaha murni oleh Unity Denticare untuk menjadikan Singapura tempat yang lebih baik terutama untuk sektor pertengahan dan jangka panjang.
Platform Cari dan Tempah kami bukan sahaja memenuhi kehendak pengguna yang mahu menilai sendiri perkhidmatan kesihatan tetapi juga mereka yang ingin membuat tempahan untuk orang tersayang.
Apatah lagi, pengguna boleh mengesan klinik Unity Denticare dengan mudah di peta,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ditubuhkan pada Ogos, 1971, Unity Denticare ialah sebahagian daripada institusi sosial NTUC, dengan misi memastikan kos penjagaan pergigian berada pada tahap sederhana. Ia berfungsi sebagai penyedia penjagaan pergigian dalam komuniti bagi keperluan kesiihatan pergigian dan kesejahteraan.
Ketua Perkhidmatan Pergigian Kesihatan, Patrick Wong berkata selain mempunyai rangkaian kilinik di seluruh republik itu, klinik pergigian bergerak juga memberi perkhidmatan di rumah-rumah penjagaan, pusat aktiviti warga emas dan kawasan kejiranan di pelbagai lokasi di Singapura.
Di samping itu, Unity Denticare secara aktif mendekati komuniti untuk menggalakkan tentang pentingnya kebersihan mulut. Perkongsian dengan BookDoc ialah pelengkap yang efektif kepada usaha kami untuk mendekati lebih ramai komuniti.
Ia memboklehkan pengguna membuat carian mengenai klinik yang paling dekat dengan rumah, membuat semakan mengenai kelayakan doktor dan membuat temu janji dengan mudah melalui aplikasi telefon bimbit. Mulai awal Mei, anda boleh membuat carian dan menempah doktor gigi melalui BookDoc, kata beliau.
— BERNAMA