BookDoc Sasar 500,000 Pengguna Bagi Aplikasi Kesihatan Pada Akhir Tahun
PETALING JAYA, 5 April (Bernama) — BookDoc menyasarkan untuk mencapai 500,000 rakyat Malaysia menggunakan aplikasi kesihatan dan kecergasannya, BookDoc Activ, pada akhir tahun.
Aplikasi tersebut, yang dilancarkan pada tahun lepas, merupakan ekosistem dalam talian bersepadu memenuhi keperluan pelancong tempatan dan antarabangsa dengan membantu mengesan penyedia penjagaan kesihatan yang berhampiran, dan membuat temu janji dengan mudah.
Bagi mencapai sasaran tersebut, Pengasas BookDoc Datuk Chevy Beh berkata terdapat usaha untuk mendapatkan lebih ramai penyedia perkhidmatan dan peruncit menyertai dan menggunakan aplikasi tersebut.
“Aplikasi pelbagai fungsi itu, diintegrasikan dengan Google Maps, Waze, Grab, Uber, AirAsia, Agoda, restoran dan tarikan pelancong yang lain melalui TripAdvisor, mewujudkan langkah kecergasan sosial melalui telefon mudah alih,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Reward Partnership Ceremony BookDoc, dengan kerjasama Fitness First, Ogawa dan Madame Waffle di sini.
Beh berkata pada masa ini, terdapat kira-kira 200,000 pengguna aplikasi tersebut di Malaysia, dan menjangka lebih ramai rakan kongsi menyertainya pada akhir tahun.
“Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat, mencatatkan hanya kira-kira 2,600 langkah sehari berbanding 3,500 oleh rakyat Singapura.
“Inisiatif ini akan membantu pengguna memulakan gaya hidup yang lebih sihat dan meningkatkan kesihatan dalam jangka masa panjang,” katanya.
BookDoc telah bekerjasama dengan beberapa penyedia perkhidmatan kesihatan dan peruncit dari 12 buah negara.
BookDoc, yang terdapat di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Thailand, merupakan platform dalam talian beroperasi meliputi kontinum penjagaan kesihatan menghubungkan pesakit kepada profesional penjagaan kesihatan pada bila-bila masa dan di mana sahaja, selain memberi insentif untuk kekal aktif.
Syarikat telah mencatat rekod dengan mencapai penilaian ‘pre-seed’ dan ‘seed’ tertinggi dalam sejarah Syarikat Permulaan Teknologi Asia.
— BERNAMA