BookDoc Terima Rakan Kongsi Strategik Baharu
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — BookDoc, platform dalam talian yang menghubungkan pesakit kepada profesional penjagaan kesihatan, menerima suntikan kewangan dalam dolar Amerika Syarikat pada jumlah yang enggan didedahkan, diketuai oleh anggota keluarga Stanley Ho, taikun bilionair Macau.
BookDoc, beribu pejabat di Malaysia, menerima baik pelaburan dua angka dalam nilai juta itu.
Syarikat turut menyifatkan anggota keluarga Ho tersebut sebagai pelabur strategik selepas Pengiran Muda Abdul Qawi dari keluarga diraja Brunei melabur dalam BookDoc hampir setahun lepas.
Dalam kenyataan, syarikat permulaan teknologi penjagaan kesihatan itu berkata pelaburan baharu tersebut akan membawa rangkaian perniagaan rentas sempadan yang kukuh dan pengalaman pelbagai disiplin bernilai.
“BookDoc sangat bertuah mempunyai pelabur strategik yang akan menawarkan pandangan jauh yang hebat kepada persekitaran perniagaan yang menjadi lokasi operasi syarikat.
“Ia akan membantu kami menembusi pasaran secara pantas dan lebih berkesan,’ kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chevy Beh.
Berdasarkan sokongan pendanaan tambahan itu, BookDoc akan berada di kedudukan lebih kukuh untuk berkembang di peringkat Asia Tenggara, dengan lebih banyak produk dan ciri-ciri disasarkan kepada pasaran perniagaan-kepada-perniagaan.
— BERNAMA