Guardian, KFit Dan La Juiceria Tawar Diskaun Kepada Pengguna BookDoc
PETALING JAYA, Nov 25 (Bernama) — Aplikasi mudah alih tempahan penjagaan kesihatan yang terkemuka di Malaysia, BookDoc hari ini menjalin kerjasama dengan tiga jenama penjagaan kesihatan terkenal di negara ini iaitu Guardian, La Juiceria dan KFit.
Menerusi kerjasama baharu itu, BookDoc turut memperkenalkan ciri terbaharu dalam aplikasi BookDoc iaitu BookDoc Activ yang menawarkan pengguna diskaun daripada tiga peruncit utama dan penyedia perkhidmatan itu.
Pengasas BookDoc Datuk Chevy Beh berkata pihaknya percaya dengan memberikan ganjaran sedemikian kepada pengguna dapat menjadikan mereka kekal sihat dan aktif.
“Objektif BookDoc bukan hanya menyediakan platform yang lancar dan akses kepada perubatan, tetapi juga penjagaan kepada mereka yang sihat seperti mana penjagaan terhadap mereka yang kurang bernasib baik dari segi perubatan,” katanya pada majlis itu.
Turut hadir Pengasas dan Pengarah Urusan La Juiceria Annabelle Co-Martinent, Pengurus Kanan Pemasaran Guardian Shirley New dan Pengasas KFit Joel Neoh.
BookDoc kini beroperasi di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Thailand.
— BERNAMA