NKF, BookDoc Bekerjasama Untuk Kesihatan Buah Pinggang Lebih Baik
KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Syarikat penjagaan kesihatan dalam talian, BookDoc hari ini menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) untuk memudahkan carian oleh orang awam bagi mendapatkan maklumat dan perkhidmatan berkaitan buah pinggang.
Kerjasama itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NKF Chua Hong Wee kepada pengasas dan pengamal berkelayakan BookDoc, Datuk Chevy Beh.
Menerusi kerjasama itu, orang ramai dengan mudah boleh mencari maklumat mengenai NKF melalui aplikasi mudah alih BookDoc yang boleh didapati secara percuma di App Store dan Google Play Store.
Beh berkata selain meningkatkan kesedaran, akses dan kemudahan, orang ramai akan dapat mencari dan memilih jadual serta lokasi secara percuma untuk Pemeriksaan Kesihatan NKF LifeCheck.
Sementara itu, Chua mengalu-alukan kerjasama itu dalam menyokong usaha NKF untuk meningkatkan tahap penjagaan kepada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang.
“Kami berharap orang ramai akan mengambil kesempatan daripada perkhidmatan percuma ini untuk pengesanan awal penyakit berkaitan buah pinggang dan mengurangkan kemungkinan menghidap penyakit buah pinggang yang kronik,” katanya.
— BERNAMA