BookDoc & MyTeksi Kerjasama Tawar Perkhidmatan Teksi Bagi Temu Janji Perubatan
Oleh Nurul Jannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Penyedia aplikasi perubatan BookDoc giat mengembangkan sayap perkhidmatannya dengan yang terkini bekerjasama dengan MyTeksi untuk menawarkan perkhidmatan tempahan teksi bagi temu janji perubatan, di mana sahaja dan bila-bila masa.
BookDoc adalah aplikasi mudah alih yang menghubungkan pesakit dengan profesional penjagaan kesihatan dan perkhidmatan itu membolehkan pesakit dengan mudah menempah perjalanan selepas membuat temu janji melalui BookDoc.
Pengasas BookDoc Datuk Chevy Beh berkata kumpulan itu menjangkakan permintaan tinggi bagi perkhidmatan terkini itu yang merupakan satu-satunya platform sehenti di Malaysia menawarkan tempahan temu janji dan pengangkutan dalam satu-satu masa.
“Bayangkan anda tidak sihat dan perlu berjumpa doktor dengan segera. Pastinya anda tidak mahu terlepas temu janji dengan profesional perubatan selepas bersusah payah melalui kesesakan lalu lintas, mencari tempat letak kereta mahupun menyusahkan seseorang untuk menjemput anda.
“Di sinilah BookDoc dan MyTeksi akan memainkan peranannya,” kata Beh kepada Bernama.
Dilancarkan pada Oktober 2015, BookDoc berhasrat untuk mengembangkan lagi perkhidmatannya untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan, dan mahu bekerjasama dengan MyTeksi untuk memperluaskan platform ini ke pasaran lain seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Seiring usahasama ini, Pengurus Besar MyTeksi Malaysia Jaygan Fu berkata sebagai penyedia tempahan teksi terbesar di Asia Tenggara, syarikat itu menyasarkan untuk merevolusikan industri tempatan.
Oleh itu, kedua-dua syarikat baharu akan meningkatkan platform teknologi mereka bagi membolehkan pesakit dengan mudah menempah menaiki teksi selepas membuat temu janji melalui BookDoc.
“Jika anda sibuk, biarkan pemandu berpengalaman membawa orang tersayang anda menemui profesional perubatan selepas temu janji dibuat melalui BookDoc. Di MyTeksi kami komited menyediakan perkhidmatan pengangkutan selamat ke hospital atau klinik pilihan anda,” katanya.
MyTeksi juga percaya penyelesaiannya akan membawa peningkatan yang ketara kepada produktiviti negara melalui pembangunan perkhidmatan teksi yang bertambah baik yang akan sekaligus meningkatkan kecekapan pengangkutan awam.
— BERNAMA